Monday, November 29, 2010

BURSA MALAYSIA: Harga Saham Dijangka Bergerak Dalam Jajaran Kecil Minggu Depan

KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Harga-harga saham dijangka bergerak dalam julat kecil minggu depan di celah-celah sentimen yang berhati-hati ekoran faktor luaran, terutamanya dasar monetari China, kata seorang peniaga.

Beliau berkata China mungkin menaikkan Nisbah Rizab Diperlukan (RRR) dan khabar angin dalam lingkungan perkara ini, telah menyebabkan kebimbangan yang berlanjutan di pasaran.

"Kami juga akan meninjau angka-angka ekonomi AS yang akan mencurah-curah masuk minggu depan. Diikuti dengan situasi tidak menentu global seperti konflik Korea dan kebimbangan hutang euro, ia dijangka terus mempengaruhi pasaran," tambah beliau.

Sementara itu, Ketua Penyelidik Runcit Affin Investment Bank, Dr Nazri Khan berkata beliau menjangkakan yang pasaran saham tempatan akan terus bergerak mendatar dalam lingkungan antara 1,490 hingga 1,510 minggu depan, di tengah-tengah urus niaga yang lebih berhati-hati.

"Pada mana-mana hampir di bawah 1,460, kami berpendapat sebarang kelemahan sebagai peluang untuk memasuki semula mendapatkan saham murah memandangkan trend menaik bulanan kekal tidak berubah.

"Pada pandangan kami, komen positif yang dibuat oleh AS dan China, mahukan keamananan bermakna ia boleh menangani kemudahruapan dan campur tangan oleh Bank Of Korea untuk menyuntik lebih banyak mudah tunai, mungkin berjaya mengelak urus niaga panik dan ketegangan yang berlanjutan," kata beliau dalam emel kepada Bernama.

Nazri berkata faktor-faktor penting ini menyediakan pasaran tempatan situasi yang lebih stabil dan perlahan-lahan meningkat minggu depan.

Beliau menambah yang terdapat juga tanda-tanda data ekonomi yang telah mendapat momentum dengan keputusan pendapatan yang positif seperti YTL, DRB Hicom dan AirAsia, yang lebih baik daripada dijangkakan.

OSK Research berkata : "Minggu depan, kita akan melihat sama ada indeks boleh benar-benar kekal sehingga paras 1,488 mata dan lambat-laun melantun semula melepas trend menaik.

"Pada paras semasa, walaupun indeks telah kembali melepasi 1,488 mata, ia masih lagi "rapuh" kepada sebarang kemungkinan penurunan," kata syarikat itu.

Untuk minggu baru berakhir, Indeks FBM KLCI ditutup pada 1,492.05, susut 4.44 mata daripada 1,506.05 Jumaat lepas.

Berdasarkan perbandingan Jumaat-Jumaat, FBM KLCI ditutup pada 1,489.86, naik 8.45 mata daripada 1,481.41 sebelumnya.

Indeks FMB Emas menokok 94.22 mata kepada 10,118.19 tetapi FBM70 merosot 27.86 mata kepada 10,441.73 dan Indeks FBM Ace berkurangan 315.68 mata kepada 4,268.73.

Indeks Kewangan turun 151.16 mata kepada 13,605.32, Indeks Perusahaan kerugian 24.26 mata kepada 2,851.26 dan Indeks Perladangan mengecil 91.51 mata kepada 7,667.23.

Jumlah dagangan mingguan mengukuh kepada 6.179 bilion saham bernilai RM11.315 bilion berbanding 4.56 bilion saham bernilai RM6.166 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama menambah kepada 5.078 bilion saham bernilai RM11.129 bilion daripada 3.932 bilion unit bernilai RM6.006 bilion sebelumnya.

Jumlah dagangan di pasaran ACE turut menokok kepada 358.820 juta saham bernilai RM114.545 juta daripada 330.090 juta saham bernilai RM104.408 juta Jumaat lepas.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 323.063 juta unit bernilai RM55.804 juta berbanding 280.945 juta unit bernilai RM50.685 juta sebelumnya.

-- BERNAMA

No comments:

Penanggah

Penanggah 2

bacabaca