Friday, February 18, 2011

Tarikh akhir bayar saman tertunggak, 1 Mac 2011, cepat2!

PUTRAJAYA: Rakyat Malaysia mempunyai sebelas hari lagi untuk membayar saman tertunggak dan menikmati kelonggaran yang diberikan oleh kerajaan berhubung kesalahan lalu lintas kerana tempoh itu tidak akan disambung, kata Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Solah Mat Hassan.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang masih memiliki saman tertunggak untuk membuat bayaran di pejabat pos atau secara online melalui Portal MyEG.

"Tempoh dah nak habis. Tempoh ini tidak akan disambung. Sekarang ada 11 hari lagi. Jangan bayar pada saat-saat akhir," katanya kepada media selepas memberi penjelasan lanjut berhubung kadar baru kompaun bagi kesalahan lalu lintas yang akan berkuat kuasa 1 Mac ini.

Sebelum ini, kerajaan pada Ogos tahun lepas mengambil keputusan bagi menangguhkan sementara sekatan urusniaga (senarai hitam) bagi pembaharuan Lesen Kenderaan Motor dan Lesen Memandu sehingga 28 Februari ini.

Solah berkata kerajaan telah memberi kelonggaran selama enam bulan untuk orang ramai menyelesaikan saman tertunggak, termasuk saman ekor dan dalam tempoh itu, tindakan menyenarai hitam pesalah ditangguhkan.

Selain itu, pesalah trafik juga tidak dikenakan mata demerit bagi saman yang diselesaikan dalam tempoh tersebut dan orang ramai diberi pilihan untuk melangsaikannya secara ansuran atau sekaligus.

Solah juga berkata sekiranya terdapat sebarang pertikaian, orang ramai boleh menghubungi agensi penguat kuasa yang mengeluarkan saman.

"Semuanya berkaitan disiplin. Jangan ingat kita mahukan duit. Pendapatan bukanlah keutamaan. Anda buat salah jadi anda perlu bayar. Itu peraturan. Kalau sudah makan nasi di restoranpun anda kena bayar," katanya.

Data yang dikeluarkan Pemandu sehingga 3 Februari lepas menunjukkan hanya 13.43peratus saman pada tahun 2000 hingga 2009 dilangsaikan daripada jumlah keseluruhan sebanyak RM3.533 bilion.

Kutipan mulai Mei 2010 itu membabitkan tiga agensi iaitu JPJ, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Pembayaran saman tertinggi atau 14.61 peratus, dilangsaikan kepada PDRM diikuti JPJ sebanyak 11.78 peratus dan DBKL 3.19 peratus yang berjumlah RM371.481 juta.

Solah berkata saman yang dikeluarkan PDRM boleh dibayar di JPJ mulai 15 Mac ini, dan sebaliknya, sebulan selepas itu.

Sementara itu, di KUALA LUMPUR, anggota Parlimen Sri Gading Datuk Mohamad Aziz meminta kerajaan menangguhkan pelaksanaan kompaun baru kesalahan lalu lintas bagi mengelakkan rakyat menanggung beban yang berlebihan.

Beliau berkata rakyat perlu diberi peluang untuk bersedia kerana bukan semua berpendapatan mewah dan mampu membayar saman.

"..harap kalau boleh kerajaan tangguh perlaksanaan. Kita tak nafikan tujuan baik kerajaan tapi bila tengok jadual denda, takut kalau tegas sangat rakyat akan tanggung beban. (bila tak dapat bayar saman) akhirnya diheret ke mahkamah, jadi bankrap.

"..bagi enam bulan lagi...kita bukan nak halang kemajuan tapi takut rakyat tak sedia sepenuhnya," katanya ketika mengulas keputusan Kabinet Rabu yang menyaksikan pengguna berdepan kompaun baru mulai 1 Mac ini berikutan penyusunan semula kesalahan lalu lintas. Beliau berkata dalam soal keselamatan jalan raya, aspek pendidikan perlu diberi lebih penekanan berbanding hukuman.

"Saya salah seorang yang meluluskan perkara ini di Parlimen, dan bagi saya, tak ada salahnya kalau tangguh dulu dan semak semula. Kalau perlu, bawa semula ke Parlimen. Soal pendidikan yang penting, bukan menghukum," katanya.

Pada Rabu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha mengumumkan kadar baru bagi empat kategori kesalahan berbanding tiga sebelum ini, dengan kompaun minimum sebanyak RM40 dan maksimum RM300, mengikut jenis dan kelas kenderaan, tahap keseriusan serta jenis kesalahan.

Tempoh pembayaran pula dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu pembayaran pada hari pertama hingga hari ke-15, pada hari 16 hingga hari ke-30 dan pada hari ke-31 hingga hari ke-60.

Selepas hari ke-60, saman yang tidak dilangsaikan akan didaftar sebagai kes di mahkamah. - BERNAMA

3 comments:

Cik SHiNJU said...

Pandu cermat,poket selamat!

sumanje said...

salam ziarah jemput singgah blog su manje tau...AMARAN nie..
ekekekekekekke

b.r.u.t.a.l.s.o.l.o said...

aku tak bayar satu sen pun

Penanggah

Penanggah 2

bacabaca