Thursday, April 7, 2011

Henti guna JCare-su dan JCare-in

KUALA LUMPUR 7 April - Orang awam yang menggunakan dua produk kesihatan tradisional `JCare-su' dan `JCare-in' diminta menghentikan pengunaannya serta merta kerana dikesan mengandungi bahan campuran palsu `glibenclamide'.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Hasan Abdul Rahman berkata, pendaftaran produk `JCare-su' dan `JCare-in' dibatalkan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah pada mesyuaratnya yang ke-237 berikutan pengesanan racun berjadual iaitu `glibenclamide'.

Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata, glibenclamide digunakan dalam seliaan ubat terkawal untuk pesakit mengidap kencing manis dan ia tidak dibenarkan dalam ubat yang dikelaskan sebagai ubat tradisional.

"Ubat-ubatan yang mengandungi glibenclamide hanya boleh dibekal oleh doktor atau ahli farmasi sahaja. Penggunaan glibenclamide tanpa pengawasan doktor boleh menyebabkan kesan sampingan seperti hypoglycaemia dan antara simptom hypoglycaemia ialah pening, menggigil, berpeluh, keliru dan lesu,” katanya.

Pemegang pendaftaran bagi kedua-dua produk ini ialah Usaha Kiara Sdn. Bhd dan dikilangkan oleh Len Fa Medical Supplies(M) Sdn Bhd.

Dr. Hasan berkata, penjual diingatkan supaya tidak menjual produk berkenaan dan sekiranya ingkar mereka boleh dikenakan hukuman mengikut Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya. - Bernama

No comments:

Penanggah

Penanggah 2

bacabaca