Friday, April 1, 2011

Malu dan tabu kaum Adam

Ada ubat untuk melambatkan...

Oleh AMMAR JAZLAN MAD LELA
ammar.jazlan@kosmo.com.my

BERGELAR raja sehari merupakan impian bagi setiap pasangan yang sedang dilamun kasih. Tidak terkecuali bagi Rizal (bukan nama sebenar) yang mengambil keputusan untuk mengakhiri zaman bujang bersama wanita pilihan hatinya selepas setahun mereka bercinta.

Kehidupannya dirasakan begitu lengkap. Mana tidaknya, selepas 30 tahun hidup bersendirian, kini ada insan bergelar isteri yang dia harapkan sentiasa berada di sisi dan mampu bersamanya dalam segala urusan hidup.

Biarpun tampak bahagia seperti pasangan-pasangan lain, Rizal menyedari hubungannya dan isteri agak dingin di ranjang. Semuanya berpunca akibat kelemahan tenaga kelelakiannya. Dia gagal ‘bertahan’ walaupun untuk tempoh satu minit.

“Abang ni macam Supermanlah, cepat sangat,” sindir isterinya yang menyebabkan Rizal tidak mampu berkata-kata.

Rizal mula berasa bimbang dan takut serta dihantui pelbagai persoalan. Cumbuan dan sentuhan kepada isterinya mula berkurangan, malah dia juga cuba mengelak untuk tidur bersama.

Bagaimanapun, ego lelaki yang menebal di dalam dirinya menyebabkan Rizal enggan berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan. Baginya, cerita di atas ranjang merupakan maruah dan harga dirinya serta tidak wajar diperbesarkan. Namun dalam diam, dia bersendirian mencari ikhtiar bagi mengatasi kekurangannya itu.

Dia mula pencari pelbagai produk alternatif dan herba yang kononnya mampu memanjangkan waktu ‘bersama’ yang terdapat di pasaran.

Semuanya telah dicuba, namun ia tidak membuahkan hasil seperti yang diharapkan. Akibat kedegilannya, mahligai bahagia yang dibina mula berantakan.

Kisah Rizal mungkin antara secebis daripada ribuan kes-kes ejakulasi pramatang (premature ejaculation - PE) yang berlaku di negara ini.

Presiden Persatuan Urologi Malaysia, Prof. Dr. Azad Hassan Abdul Razack berkata, PE didefinisikan sebagai satu keadaan yang menyebabkan lelaki memancutkan air maninya terlalu cepat sebelum masanya.

“Klimaks selalunya mendahului kehendak lelaki itu sendiri mahupun pasangannya sehingga tidak sempat memberi dan merasakan kepuasan yang lebih lama dalam hubungan seksual.

“Akibatnya, isteri yang mempunyai kepuasan seks yang lebih tinggi berasa kecewa sehingga mendorong kepada berlakunya krisis dalam hubungan antara pasangan,” katanya.

Menurutnya, PE yang paling kerap berlaku dalam tempoh dua minit selepas penetrasi manakala selebihnya sama ada lebih cepat atau mampu bertahan lebih lama daripada tempoh itu.

Katanya, situasi itu lazim terjadi kepada pengantin baru yang mahu melayari bahtera buat kali pertama disebabkan terlalu bimbang atau teruja.

“Bagaimanapun, PE yang berlaku terlalu kerap terutama selepas beberapa tahun perkahwinan boleh mengganggu hubungan suami isteri. Ia menandakan satu masalah perubatan dan perlu dirawat segera,” ujarnya.

Dalam satu kajian yang dijalankan oleh Kajian Kawalan dan Sikap Ejakulasi Pramatang Asia Pasifik (AP PEPA) baru-baru ini mendapati 29 peratus lelaki Malaysia berkemungkinan mengalami PE.

Kaji selidik tersebut telah dijalankan kepada 5,000 lelaki berusia dari 18 hingga 65 tahun.

Sebanyak 10 negara di sekitar Asia Pasifik termasuk Australia, New Zealand, China, Taiwan, Hong Kong, Indonesia, Korea Selatan,, Thailand dan Filipina terlibat dalam kaji selidik itu.

Kesedaran rendah

Kajian daripada AP PEPA itu juga menemukan bukti bahawa kesedaran mereka tentang PE amat rendah. Lebih mengejutkan, ia turut mendedahkan bahawa kebanyakan lelaki tidak sanggup dan enggan membincangkan masalah itu secara terbuka. Mereka sebaliknya membiarkan perasaan tertekan dan kecewa berlalu begitu sahaja.

Azad menjelaskan, walaupun jumlah lelaki yang berdepan dengan masalah berkenaan boleh dikatakan agak besar, masih ramai yang memilih untuk merahsiakannya.

Katanya, lelaki sering menganggap perkara tersebut adalah sesuatu yang bersifat tabu dan enggan mengakui kelemahan diri memandangkan ia melibatkan kekurangan dari sudut keupayaan seksual.

Faktor itu diburukkan lagi dengan kekeliruan dan ketidakfahaman mereka mengenai penyakit tersebut serta tidak pasti mengenai pihak yang perlu dirujuk bagi mendapatkan rawatan.

Katanya, berbeza dengan disfungsi erektil (DE) yang biasanya menyebabkan lelaki langsung tiada dorongan seks, mencapai ketegangan zakar dan selanjutnya ejakulasi, PE kurang disedari dan tidak dianggap sebagai satu masalah seksual yang serius.

“Lebih memburukkan keadaan, kaum wanita pula lebih rela menderita daripada membincangkan hal tersebut secara terbuka hanya kerana mahu menjaga perasaan pasangan mereka.

“Jika masalah ini tidak ditangani di peringkat awal, akibatnya akan dirasai oleh pasangan terlibat. Kemurungan, tekanan, rasa rendah diri dan kekecewaan yang meluap-luap boleh menjurus kepada hubungan dingin di atas katil. Seterusnya adalah kemungkinan keruntuhan rumah tangga,” terang beliau.

Punca psikologi

Sementara itu, Presiden Persatuan Andrologi dan Kajian Lelaki Berusia Malaysia, Datuk Dr. Tan Hui Meng berkata, antara 20 hingga 30 peratus lelaki mungkin pernah menghidapi PE dalam suatu peringkat kehidupan mereka tanpa mengira usia.

Beliau menjelaskan, terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada PE, lazimnya disebabkan punca-punca psikologi.

Katanya, tahap hormon tertentu dan sensitiviti (kegelian) berlebihan pada alat sulit lelaki merupakan sebahagian faktor biologi PE.

“Di samping itu, terdapat keadaan tertentu yang boleh mengganggu proses ejakulasi seperti perubahan kelenjar prostat, arteriosklerosis (gangguan akibat kolesterol berlebihan yang melekat pada dinding pembuluh darah arteri), diabetes dan gangguan neurologi (saraf).

“Begitupun, kebanyakan masalah PE adalah berpunca daripada masalah psikologi yang menyebabkan kegagalan mengawal tindak balas ejakulasi,” jelas Hui Meng.

Tambah beliau, paling penting dalam merawat permasalahan itu mahupun lain-lain gangguan seksual adalah komunikasi berkesan antara kedua-dua pasangan.

“Ia terjadi bukan dengan kehendak sesiapa. PE sangat menjejaskan perasaan isteri. Suami sepatutnya memberi kerja sama dan perlu mendapatkan diagnosis sebelum melakukan sebarang rawatan,” kata beliau.

Hui Meng turut berpesan, penggunaan perubatan alternatif atau ubat herba yang terdapat di pasaran boleh memburukkan keadaan. Bukan sahaja produk tersebut tidak dapat dipastikan keberkesanannya, ia turut meninggalkan kesan sampingan kepada yang mencubanya.

Bagaimanapun, hari ini terdapat ubat preskripsi bernama Priligy yang dikeluarkan oleh Bahagian farmaseutikal Johnson & Johnson yang membuka jalan untuk merawat pesakit PE.

Pengurus Hal Ehwal Perubatan Janssen-Cilag, Joyce Seak berkata, Priligy adalah pilihan yang telah dibuktikan secara klinikal.

Katanya, pengambilan Priligy mampu menolong pasangan mengembalikan saat keintiman hubungan sesama mereka.

“Priligy berupaya meningkatkan serotonin dalam tubuh bagi melambatkan ejakulasi, paling penting ia tidak mempunyai kesan sampingan yang ketara.

Ketika ini, katanya terdapat dua dos Priligy iaitu 30 miligram dan 60 miligram dan perlu dimakan satu hingga tiga jam sebelum melakukan hubungan intim.

No comments:

Penanggah

Penanggah 2

bacabaca