Oleh WAN FAKHRUL BAKAR
fakhrul@kosmo.com.my
MULA-mula kena belasah, sekarang melangkah bergaya ke separuh akhir.Begitu cabaran yang dilalui skuad bola sepak negara pada Kejohanan Bola Sepak Piala AFF Suzuki 2010.
Semalam, skuad bimbingan K. Rajagobal itu mara ke separuh akhir selepas membelasah Laos 5-1 pada perlawanan terakhir peringkat Kumpulan A di Stadium Jaka Baring, Palembang.
Pada masa yang sama, terima kasih kepada bekas penyerang import Selangor, Bambang Pamungkas yang menjadi watak penting dalam membantu skuad negara layak ke separuh akhir, semalam.
Bambang mengesahkan kemenangan Indonesia apabila menjaringkan gol kemenangan pasukannya ke atas Thailand dalam satu lagi perlawanan Kumpulan A di Gelora Bung Karno, Jakarta.
Pada aksi semalam, skuad kebangsaan mudah membelasah Laos 5-1 menerusi dua jaringan Amri Yahyah serta masing-masing satu gol daripada Amirulhadi Zainal, Norshahrul Idlan Talaha dan Mahali Jasuli.
Kemaraan Malaysia dibantu kejayaan Indonesia menewaskan Thailand 2-1 hasil dua sepakan penalti Bambang pada minit ke-81 dan 88 biarpun Thailand mendahului hasil jaringan Suree Sukha pada minit ke-68.
Dengan keputusan itu, Indonesia muncul juara Kumpulan A dengan sembilan mata maksimum diikuti Malaysia di tangga kedua dengan empat mata, Thailand ketiga dengan dua mata dan Laos menduduki kedudukan tercorot dengan satu mata.
Malaysia selaku naib juara Kumpulan A akan berdepan juara Kumpulan B iaitu sama ada Filipina, Vietnam atau Singapura pada 15 Disember di Stadium Nasional, Bukit Jalil dan di tempat lawan pada 18 Disember depan.
Pada aksi malam tadi, jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal membuat empat pertukaran dalam kesebelasannya.
Sabre Mat Abu, Faizal Muhammad, Khyril Muhymeen Zambri dan Amri Yahyah mengisi tempat Asararuddin Putra Omar, Fadhli Shas, Amirulhadi dan Safee Sali.
Amri menanduk masuk gol pertama Malaysia seawal minit ketiga hasil hantaran Norshahrul tetapi Laos pantas menyamakan kedudukan menerusi Lamnao Singto pada minit ketujuh.
Namun Malaysia berjaya menamatkan separuh masa pertama dengan mendahului 2-1 hasil jaringan kedua Amri yang menolak masuk bola hantaran kapten, Safiq Rahim pada minit ke-39.
Sisa perjuangan Laos semakin luntur selepas Malaysia menambah gol ketiga menerusi pemain gantian, Amirulhadi pada minit ke-73 dan gol keempat menerusi Norshahrul pada minit ke-76, kedua-duanya hasil kesilapan pertahanan Laos, Kitsada.
Pesta jaringan Malaysia diakhiri bek kanan, Mahali yang naik ke atas untuk menyumbat gol kelima pada minit ke-90.
Bagaimana Menarik Anak-Anak Mempelajari Sejarah
-
Menarik minat anak-anak untuk mempelajari sejarah memerlukan pendekatan
kreatif dan menyeronokkan.
Berikut adalah beberapa cara untuk menjadikan sejarah...
2 hours ago
No comments:
Post a Comment