Tuesday, December 7, 2010

TV Al-Hijrah Luaskan Medium Dakwah Baru


KUALA LUMPUR: Kehadiran TV Al Hijrah, stesen televisyen berunsurkan nilai Islam yang pertama di Malaysia, akan memperluaskan lagi medium dakwah baru yang selari dengan keperluan masa kini, menurut Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), pengelola stesen itu.

Stesen itu yang akan dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Selasa sempena sambutan Maal Hijrah seharusnya membuka lebih peluang kepada karyawan, seniman dan pengiat seni tanah air, kata Ketua Pengarah Jakim Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz.

"Harapan Jakim, dengan kerjasama semua pihak dan penglibatan aktif para pendakwah dan penggiat seni, stesen ini akan muncul sebagai sebuah stesen penyiaran Islam terulung di rantau ini," katanya.

TV Al Hijrah boleh diikuti di Lembah Klang melalui saluran UHF CH55 frekuensi MHz 743.25, Terengganu UHF CH41 (631.25 MHz), Johor UHF CH40 (623.25 MHz), Sarawak UHF CH37 (599.25 MHz) dan Sabah UHF CH37 (599.25 MHz).

Wan Mohamad berkata perancangan yang baik dalam memanfaatkan stesen itu mampu memberi kesan dakwah yang besar kepada masyarakat global sekaligus membuka persaingan sihat dalam kalangan media di dalam negara dan menjadi contoh di rantau ini.

"Jakim juga berpandangan pengendali stesen-stesen televisyen dan pihak media di negara ini tidak harus memandang ringan terhadap kuasa penonton yang mampu mempengaruhi kerancakan pasaran dunia penyiaran," katanya.

Wan Mohamad berkata sejak akhir-akhir ini, sensitiviti penonton terhadap genre rancangan yang bercanggah dengan nilai-nilai murni dan kepercayaan agama Islam merupakan petanda bahawa penonton di Malaysia bukanlah mudah disogok dengan bahan-bahan yang tidak berfaedah dan melalaikan.

"Oleh yang demikian, pengendali stesen penyiaran dan penerbit-penerbit rancangan tidak boleh menganggap bahawa hanya rancangan dari barat sahaja mempunyai kualiti dan harus menjadi tanda aras dalam pembikinan rancangan," katanya.

Wan Mohamad berkata TV Al Hijrah akan mengetengahkan imej bercirikan Islam dan mampu menjadi penanda aras sebuah stesen televisyen yang unggul di Malaysia dan rantau ini. - BERNAMA

No comments:

Penanggah

Penanggah 2

bacabaca