Wednesday, December 8, 2010

Siti harap dapat anak tahun depan

Oleh ADLAN JAAFAR

TAHUN 2010 bakal melabuhkan tirai untuk memberi laluan dengan kehadiran tahun 2011. Sepanjang tahun ini, penyanyi kesayangan ramai, Datuk Siti Nurhaliza seakan-akan menyepi sedikit dalam dunia seni. Tiada konsert, tiada album baru malah baru-baru ini telah menarik diri daripada bertanding dalam Anugerah Bintang Popular.

Waima Siti ada merakamkan album CTKD (Canda, Tangis, Ketawa, Duka) bersama sahabat baiknya, Kris Dayanti pada tahun lalu dan album solo berjudul Tahajjud Cinta pada tahun yang sama.

Bagi peminat Siti yang sentiasa mengikuti dirinya, pasti sedar tahun 2010 bagi Siti telah diisi dengan aktiviti perniagaan.

Seolah sudah serius terlibat dalam perniagaan dan sudah mula perlahan-lahan meninggalkan dunia nyanyian. Siti Nurhaliza dengan jelas menidakkan perkara tersebut.

“Saya masih sayang kepada dunia nyanyian. Malah, saya rasa rindu untuk mengadakan konsert.

“Nyanyian ialah cinta pertama saya dan melalui nyanyian juga saya dapat mencapai semua impian saya. Dapat membuka perniagaan dan kehidupan Siti yang bertambah baik,” luah Siti berhubung kecintaannya terhadap dunia seni suara.

Siti juga menambah, dia perlu untuk melakukan sesuatu untuk menyokong kehidupan di masa hadapan. Seperti mana khalayak melihat usaha Siti sepanjang tahun 2010 ini jelas menunjukkan dunia perniagaan menjadi pilihan.

“Tambahan pula, selain menyanyi, bidang kecantikan dan kosmetik ialah nyala rasa Siti.

“Bagi Siti, sekarang ialah masa yang terbaik untuk Siti terlibat dalam dunia perniagaan,” kata pelantun lagu Jerat Percintaan ini.

Selepas melancarkan produk Simply Siti pada bulan Mac yang lalu, terkini, Siti telah menjadi rakan niaga dalam sebuah syarikat jualan langsung yang sudah beroperasi di Malaysia sejak 2008.

Sebagai permulaan, pembukaan rasmi Sity Avita Sdn. Bhd. di Menara UOA Bangsar baru-baru ini menjadi tanda usahasama Siti dan Syarikat Avita.

“Siti diperkenalkan dengan produk Celergen keluaran Avita oleh kakak ipar Siti, Zaini (Muhd. Jiwa) dan kami sekeluarga mencuba.

“Selepas hampir setahun menggunakan produk Celergen, kesan segera yang Siti dapat ialah ia memberi tenaga, kulit menjadi cantik dan membaiki sel-sel dalam badan.

“Hasilnya amat baik dan disebabkan itu juga Siti berani melabur dalam perniagaan ini,” kata Siti yang enggan memberitahu jumlah pelaburan yang dibuat walaupun diasak dengan persoalan tersebut.

Celergen ialah penokok pemakanan antipenuaan dan terapi sel marin termaju dari Switzerland yang telah diluluskan oleh Pejabat Kesihatan Awam Persekutuan Swiss dengan pematuhan penuh pada FDA, Amerika Syarikat.

Segala hal-hal pengurusan dalam syarikat ini diuruskan sepenuhnya oleh kakak ipar Siti, Zaini Muhd. Jiwa dan suami, Datuk Khalid Muhd, Jiwa yang turut hadir pada majlis tersebut. Turut kelihatan ialah ketua pegawai eksekutif Avita, Lee Xiang Yin.

Bukan sahaja keluarga, malah Siti juga turut memperkenalkan produk tersebut kepada rakan artis yang lain seperti Kris Dayanti (KD).

Setiap kali KD datang ke Malaysia, pasti dia akan memesan tujuh atau lapan kotak untuk dibawa pulang ke Indonesia.

“Kami juga berharap dapat menembusi pasaran Indonesia tahun hadapan,” tambah Siti yang semakin rancak menjalankan perniagaan.

Antara rakan artis lain yang menggunakan produk ini ialah Umie Aida, Ziela Jalil dan Erma Fatima.

Bercerita mengenai perancangan masa hadapan karier seninya, pada Disember ini, Siti akan membuat rakaman single untuk album terbaru. Antara komposer yang terlibat ialah Audi Mok, Aubrey Suwito, Aizat dan Yuna juga Siti ada buat permintaan untuk mencipta lagu.

“Saya sudah tidak sabar untuk masuk studio dan memulakan rakaman,” kata Siti sudah memiliki 14 album solo.

Ketika ditebak dengan persoalan anak, ujar Siti: “Itu harapan saya pada tahun 2011.”

No comments:

Penanggah

Penanggah 2

bacabaca